Saturday, January 2, 2010

TAKLIMAT PENGURUSAN GURU BESAR 2010



SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN BUKIT INDAH
81200 JOHOR BAHRU

Rujukan Kami : JBA 1115/ Mesyuarat Guru (1/ 2010)
Tarikh : 26 Disember 2010


Semua Guru,
Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Indah,
Jalan Indah 15/9, Taman Bukit Indah,
81200 Johor Bahru,
Johor

Tuan/ Puan

PENGURUSAN PERSEKOLAHAN 2010
Berhubung perkara tersebut di atas, dengan hormatnya tuan/puan adalah dikehendaki mengambil tindakan segera/ serius terhadap perkara-perkara tersebut di bawah bagi memastikan persekolahan 2010 dapat dijalankan dengan lancar dan teratur dan seterusnya mencapai matlamat yang telah ditetapkan iaitu meningkatkan prestasi akademik khususnya menjadikan Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Indah sebuah sekolah yang terbaik di Negeri Johor.

1. KEHADIRAN GURU
Semua guru dikehendaki sampai di sekolah sebelum jam 7.15 pagi.
Guru-guru menandatangan kehadiran ketika hadir ke sekolah dan menulis waktu balik apabila hendak pulang. Guru-guru yang hadir selepas masa- masa yang ditetapkan dikehendaki berjumpa Guru Besar dan memberi sebab-sebab kelewatan.
Guru-guru tidak dibenarkan menandatangan kehadiran bagi pihak guru lain.
Guru-guru yang bercuti (sakit) hendaklah memaklumkan pihak sekolah (Guru Besar/Penolong Kanan) sebelum jam 7.15 pagi bagi membolehkan GPK 1 membuat ‘relief’ dan menyerahkan Sijil Akuan Sakit sebaik sahaja hadir bekerja kepada Guru Besar dan No. Sijil Akuan Sakit akan dicatat di dalam Buku Kehadiran Guru.

2. BUKU REKOD PERSEDIAAN MENGAJAR (BRPM) GURU
Isikan semua butiran dalam BRPM dengan lengkap dan kemaskini.
Rancangan Pelajaran (Scheme of Work) hendaklah ditaip atau dicetak untuk pengajaran sepanjang tahun dan diagihkan kepada tahun/ penggal dan minggu. BRPM akan disemak pada bila-bila masa.
Menyediakan rekod pengajaran sehari lebih awal bagi membolehkan ianya sedia dirujuk oleh guru lain apabila seseorang guru bercuti.
Rekod pencapaian murid dan peperiksaan penggal hendaklah juga dicatat dalam buku yang disediakan.
Persediaan Rancangan Harian hendaklah mengandungi perkara- perkara berikut:
i) Subjek/ Masa dan Kelas/ Darjah
ii) Tajuk Kemahiran
iii) Objektif
iv) Isi Kandungan
v) Aktiviti/ Strategi
vi) Impak/ Catatan
BRPM yang telah dikemaskini dengan segala butiran yang diperlukan hendaklah dihantar ke
pejabat untuk disemak oleh Guru Besar pada hari Jumaat. Sila tuliskan ruangan pertemuan/
perbincangan profesional bersama (Guru Besar, Guru Penolong Kanan) termasuk mesyuarat
guru.

3. BUKU KEHADIRAN MURID (REGISTER)
Gunakan kertas catatan kedatangan sementara untuk minggu pertama persekolahan.
Semua butiran murid diisi dengan lengkap dan dikemaskini. Buku kehadiran Murid mestilah
dihantar ke pejabat sebelum jam 9.00 pagi. Sila bawa kepada perhatian GPK HEM sekiranya
murid tidak hadir selama 3 hari atau lebih dan guru hendaklah menghantar surat peringatan pertama kepada ibubapa/ penjaga murid. Salinan surat tersebut hendaklah difailkan.
Catatkan nombor surat rasmi bagi bayaran Yuran Khas, Peperiksaan dan MSSJ. Resit hendaklah dikeluarkan oleh guru sendiri. Dimaklumkan bahawa kehadiran murid adalah penting untuk tuntutan LPBT (OCAR) dan menjadi salah satu dokumen yang disemak oleh pihak audit. Oleh itu, hendaklah ditutup dengan betul pada setiap hujung bulan. Tidak dibenarkan membawa balik Buku Kehadiran Murid kecuali dengan kebenaran.
Murid tidak dibenarkan samasekali menanda Buku Kehadiran Murid bagi pihak guru kelas.
Borang kebenaran memungut yuran hendaklah ditampal dibahagian hadapapan Buku Kehadiran Murid.

4. BAYARAN-BAYARAN LAIN OLEH SEKOLAH
Keluarkan resit rasmi untuk setiap bayaran seperti di atas. Serahkan kutipan tersebut kepada pembantu tadbir pada hari yang sama. Pengakuan penerimaan akan dicatat di belakang resit bayaran. Semua guru kelas diminta menyerahkan kepada GPK HEM senarai nama murid yang tidak menjelaskan bayaran tersebut pada………………….
Pastikan semua guru telah mendapat surat kebenaran mengutip bayaran daripada Guru Besar
sebelum membuat kutipan.

5. GURU BERTUGAS MINGGUAN
Membuat catatan dalam buku laporan perkara-perkara berikut:
a) Guru-guru yang tidak hadir ke sekolah.
b) Mengisi borang kawalan kantin setiap hari persekolahan.
c) Kebersihan kantin, tandas, koridor, bilik darjah dan kawasan padang.
d) Pelawat ke sekolah dan lain- lain maklumat yang ditetapkan.
Guru bertugas hendaklah hadir lebih awal ke sekolah (pada jam 7.00 pagi) dan balik setelah
semua murid telah pulang. Semua guru bertugas hendaklah sentiasa berada pada tempat-tempat berikut setiap hari bertugas:
a) Bersama murid semasa hari perhimpunan hari Isnin dan perhimpunan khas/ hari Jumaat.
b) Guru bertugas hendaklah sentiasa memerhati murid tidak berada di dalam bilik darjah, di dalam tandas, di belakang bangunan sekolah, di dalam perpustakaan atau bilik- bilik khas yang lain.
c) Berada di depan pondok menunggu untuk menyambut kedatangan murid- murid melintas jalan dan memastikan tiada kenderaan menunggu atau diletakkan di dalam kawasan laluan bertar bagi kelancaran perjalanan trafik.
d) Mengawasi murid- murid di kantin semasa rehat (dari awal sehingga semua murid masuk ke kelas masing- masing). Pentingkan:
i) Amalan nilai-nilai murni sebelum, semasa dan selepas makan
ii) Disiplin murid semasa membeli makan, beratur di dalam barisan dengan kebisingan yang minimum.
· membaca doa sebelum dan selepas makan.
· Membasuh tangan sebelum dan selepas makan.
· Pastikan murid sentiasa diingatkan/ dilatih meletakkan pinggan/ mangkuk/ gelas/ sudu/ garfu ke dalam bekas yang disediakan.
iii) Tahap kebersihan kantin sebelum, semasa dan selepas waktu rehat.
· keadaan tong sampah dan sampah dibuang dengan betul.
e) Mengawasi murid semasa balik – pastikan murid sentiasa beratur dari kelas hingga ke pintu pagar sekolah.
f) Mengawasi di tempat- tempat sekitar kawasan sekolah semasa kelas menjalankan aktiviti gotong- royong.
g) Menyediakan P. A System dan memastikan ianya berfungsi dengan baik sebelum perhimpunan dijalankan.
h) Memastikan pengawas yang bertugas sudah bersedia sebelum perhimpunan dimulakan.

6. REKOD KELUAR KAWASAN SEKOLAH DALAM WAKTU KERJA
Semua guru dan kakitangan bukan guru hendaklah memohon kebenaran sebelum keluar dari kawasan sekolah semasa bertugas daripada Guru Besar atau GPK semasa ketiadaannya.
Sila catat di dalam Buku Keluar Kawasan Sekolah yang diletakkan di dalam pejabat dan dapatkan tanda tangan Guru Besar/ GPK sebelum meninggalkan kawasan sekolah. Ini adalah sebagai langkah keselamatan (precaution) dan bukti bahawa permohonan diluluskan sebelum seseorang pegawai meninggalkan kawasan sekolah dalam waktu kerja. Masa pulang hendaklah dicatat juga.

7. PERHIMPUNAN RASMI SEKOLAH PADA SETIAP ISNIN
Perhimpunan rasmi akan bermula pada jam 7.15 pagi. Guru bertugas dikehendaki mengendalikan perhimpunan bersama dengan pengawas bertugas. Semua guru dikehendaki mempamerkan tahap disiplin yang tinggi bagi menjaga imej guru. Guru yang menjadi ‘role model’ kepada anak- anak didik dengan memberi perhatian kepada hal- hal berikut:

a) Tidak bercakap/ bersembang/ berborak
b) Berdiri tegak dan menyanyi bersama dengan penuh semangat patriotik.
c) Mengangkat tangan kanan semasa membaca Ikrar Rukun Negara.
d) Bersurai ke kelas masing-masing sebaik sahaja berhimpunan berakhir.

Perjalanan perhimpunan rasmi adalah seperti berikut:
a) Bacaan doa.
b) Nyanyian lagu Bangsa Johor (dipimpin oleh guru muzik/ murid) diikuti dengan nyanyian lagu Sekolah dan lagu Patriotik.
c) Membaca Ikrar Rukunegara dan Ikrar Murid
d) Laporan guru bertugas minggu sebelumnya.
e) Penyampaian hadiah/ sijil/ pengumuman
f) Ucapan Guru Besar/ GPK.
g) Nyanyian lagu Negaraku.
h) Bersurai.

Perjalanan perhimpunan pagi ( Jumaat, jam 7.15 hingga 7.50 pagi) adalah seperti berikut:
a) Bacaan Yassin
b) Tazkirah oleh Ustaz/ Ustazah
c) Pesanan/ nasihat daripada Guru Besar/ GPK/ guru bertugas.
Semua guru agama yang terlibat dikehendaki memastikan semua guru dan murid dapat duduk dengan selesa semasa program dijalankan. Penggunaan P. A System adalah digalakkan bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan program. Murid- murid dan guru bukan Islam dikehendaki berhimpun di dalam kelas/ kantin untuk kelas Pelajaran Sivik. Sila pastikan disiplin murid di tahap yang tinggi sepanjang program dijalankan. Semua guru dekehendaki bersedia dengan Buku Rekod Persediaan Mengajar (BRPM) dan peralatan mengajar sebelum program bermula dan terus masuk ke kelas masing-masimg sebaik sahaja program berakhir bagi memastikan P & P dapat dijalankan seberaopa segera.

8. CUTI GURU
Guru yang bercuti (cuti sakit/ kecemasan) hendaklah memaklumkan pihak sekolah sebelum 7.15
pagi dan Sijil Akuan Sakit hendaklah diserahkan kepada Guru Besar sebaik sahaja guru hadir semula ke sekolah untuk bertugas. Semua guru dibenarkan mengambil cuti sakit tidak melebihi 15 hari setahun. Sijil Akuan Sakit daripada klinik swasta yang melebihi 2 hari berturut- turut hendaklah mendaptkan ‘endorsement’ daripada doktor kerajaan. Sila rujuk Peraturan- peraturan Perkhidmatan Awam (Tatatertib dan Kelakuan) 1993. Cuti sambilan boleh diambil oleh guru berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4/ 1977 dengan mengisi borang sebanyak 3 salinan dan diserahkan kepada Guru Besar untuk kelulusan sekurang-kuraangnya 2 hari sebelum bercuti. Sila lampirkan salinan surat/ dokumen sokongan jika berkaitan. Guru- guru yang sedang mengikuti PJJ dibenarkan mengambil cuti tanpa rekod bagi tujuan- tujuan peperiksaan atau yang berkaitan dan juga dikehendaki memaklumkan kepada Guru Besar sebelum mengisi borang cuti.

9. PAKAIAN GURU
Pakaian guru hendaklah kemas dan bersesuaian seperti yang terkandung dalam Pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia bertarikh 9 Mei 1985. Semua guru perempuan beragama Islam diwajibkan memakai tudung. Guru perempuan bukan Islam tidak dibenarkan memakai skirt atas lutut/ baju tanpa lengan. Semua guru lelaki dikehendaki memakai tali leher, stokin dan kasut kulit. Guru- guru yang bersongkok hendaklah memakai songkok hitam. Guru- guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani dikehendaki memakai pakaian sukan yang lengkap dan menukar pakaian setelah selesai waktu Pelajaran Jasmani. Guru- guru perempuan digalakkan memakai kasut bertumit (sekurang-kurangnya 1 inci) bagi penampilan yang lebih kemas dan bergaya. Tanda nama mesti dipakai pada setiap masa.

10. KEHADIRAN KE KELAS
Semua guru dikehendaki mematuhi Jadual Waktu Pengajaran yang telah ditetapkan dan hadir ke kelas untuk mengajar tanpa berlengah-lengah. Semua guru tidak dibenarkan meninggalkan kelas lebih awal sebelum waktu pengajaran berakhir. Guru tidak dibenarkan meninggalkan kelas untuk sesuatu tempoh tertentu dalam masa pengajaran kecuali dengan kebenaran Guru Besar.
Semua guru dikehendaki memanfaatkan sepenuh masa semasa dalam kelas bagi memastikan
proses P & P berjalan dengan lancar dan mencapai objektif serta penerapan nilai-nilai dan lain-
lain Pelajaran dapat dilaksanakan secara maksimum. Waktu ‘free’ hendaklah digunakan untuk
menyemak buku, merancang P & P dan tugas- tugas lain yang dipertanggungjawabkan secara
efektif. Semasa mengajar di dalam kelas, guru hendaklah sentiasa berdiri. Semasa murid- murid
membuat latihan yang diberi, guru hendaklah menyelia dan menunjuk ajar dari seorang murid ke seorang murid yang lain atau dari satu kumpulan ke kumpulan yang lain. Dalam masa 10 minit pertama, guru hendaklah memastikan kebersihan dan susunatur kerusi meja murid di dalam bilik darjah di tahap yang terbaik. Suasana yang selesa dan nyaman dengan membuka semua pintu dan tingkap serta pastikan keadaan bilik darjah kondusif untuk P & P yang berkesan. Guru tidak dibenarkan mengajar sambil duduk atau bertenggek di atas meja guru/ murid. Semua guru hendaklah sentiasa menjaga adab sopan serta imej seorang guru/ pendidik di hadapan murid-murid di dalam kelas.

11. KEHADIRAN KE MESYUARAT GURU
Mesyuarat guru akan diadakan di Bilik Gerakan Guru (BGG). Semua guru wajib hadir mesyuarat dari awal hingga mesyuarat ditangguhkan. Guru-guru yang tidak dapat hadir sila maklumkan kepada Guru Besar sebelum mesyuarat dimulakan.
Makluman berkenaannya akan ditulis di papan kenyataan di Bilik Gerakan Guru (BGG) sekurang-kurangnya 2 hari sebelum mesyuarat. Semua guru hendaklah memastikan mereka sedia maklum tentang perkara ini. Semua guru digalakkan melibatkan diri dalam perbincangan agenda mesyuarat sebagai ‘active member’. Guru tidak dibenarkan sama sekali membuat kerja penyemakkan buku latihan murid/kerja-kerja lain. Sila beri tumpuan sepenuhnya kepada mesyuarat. Minit mesyuarat yang lalu akan dibentangkan dan dibincangkan dalam agenda- agenda perkara berbangkit. Sila pastikan tindakan segera diambil sebaik sahaja mesyuarat berakhir. Semua guru hendaklah mematuhi adab/tatatertib mesyuarat dan bagi mereka yang hendak mengemukakan soalan, cadangan, saranan, idea dan lain-lain di dalam mesyuarat hendaklah melalui pengerusi. (Sila rujuk edaran Panduan dan Peraturan Mesyuarat).

12. KEHADIRAN KE PERHIMPUNAN RASMI SEKOLAH
Perhimpunan rasmi sekolah akan diadakan pada setiap hari Isnin jam 7.15 pagi.
a) Semua guru wajib hadir perhimpunan dari awal hingga akhir kecuali guru-guru yang mendapat kebenaran Guru Besar/ GPK.
b) Semua guru dikehendaki menjaga imej seorang guru dengan memberi perhatian kepada hal- hal berikut:
· Tidak bercakap/ bersembang/ berborak dan lain- lain
· Berdiri tegak dan menyanyi bersama dengan penuh semangat patriotik
· Mengangkat tangan kanan semasa membaca ikrar rukunegara
· Bersurai ke kelas masinng-masing sebaik sahaja perhimpunan berakhir
· Guru- guru bertugas di kehendaki memastikan P. A system/ radio berfungsi dengan baik dan
pengawas yang ditugaskan sudah bersedia sebelum perhimpunan dimulakan.
· Guru bertugas dikehendaki berada di dalam barisan bersama murid-murid untuk mengawal
disiplin dan memastikan perhimpunan dapat dijalankan dengan sempurna dan berkesan.
· Guru-guru yang berucap di dalam perhimpunan tidak dibenarkan sama sekali berleter,
meninggikan suara, memekik dan mengeluarkan kata-kata yang mengugut murid-murid.
· Guru-guru hendaklah menggunakan mikrofon secara berhemah dan menggunakan ilmu yang
ada sebaik mungkin bagi mengawal murid-murid supaya disiplin murid ditahap yang baik.
· Selepas perhimpunan mereka dikehendaki mengambil tindakan sewajarnya terhadap murid-
murid yang melanggar disiplin seperti datang lewat, bercakap, bergurau dan tidak mematuhi
peraturan semasa perhimpunan.

13. KELAS RELIEF
Semua guru yang berehat ( free period) akan dikehendaki memasuk ke kelas mengikut senarai
‘relief’. Guru ‘relief’ adalah bertanggungjawab ke atas kelas yang digantikannya. Jika terdapat
guru tidak masuk kelas ‘relief’ dan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, guru berkenaan diminta memberi sebab-sebab kepada Guru Besar. Semua guru ‘relief’ digalakkan menjalankan aktiviti seperti kuiz, nyanyian, membersih dan mengemas kelas, peringatan berkaitan peraturan sekolah serta berinteraksi dengan murid-murid.

14. TANGGUNGJAWAB SEMUA GURU TERHADAP BILIK DARJAH
Semua guru adalah bertanggungjawab ke atas kelas yang diajar dari segi kebersihan, kekemasan dan keceriaan sekolah. Sila beri 5 minit pertama untuk memastikan kelas berada dalam keadaan kondusif untuk P & P dijalankan. Sila beri perhatian kepada perkara-perkara berikut:
a) tingkap dan daun pintu dibuka untuk pengudaraan
b) cahaya yang mencukupi dan jika gelap buka lampu
c) barisan meja murid diluruskan
d) lantai dan koridor bilik darjah sudah disapu dan bakul sampah sudah dikosongkan serta
penyapu dan peralatan pembersihan disimpan dengan baik disatu sudut
e) papan hitam dan pemadam dibersihkan dan kapur mencukupi.
Pastikan semua murid sudah bersedia untuk belajar sebelum memulakan pelajaran.
Semua guru kelas hendaklah memastikan kerusi dan meja murid mencukupi pada setiap masa
Guru kelas juga dikehendaki memastikan bilik darjahnya ditutup/ dikunci selepas semua murid pulang. Semua guru kelas mengambil inisiatif sendiri dengan bantuan murid dalam kelas untuk menyediakan peralatan pembersihan kelas sekiranya ianya rosak atau hilang.

15. DISIPLIN MURID
Semua guru adalah guru disiplin dan bertanggungjawab mengawal disiplin semua murid. Semua guru hendaklah memastikan disiplin setiap murid di tahap yang terbaik di dalam dan di luar bilik darjah. Semua guru hendaklah memastikan amalan nilai-nilai murni ditingkatkan di kalangan semua murid seperti berikut:
a) Memberi salam dan menjawab salam.
b) Hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain.
c) Bersikap jujur dan bersyukur.
d) Rajin dan mengutamakan kebersihan fizikal dan mental.
e) Mengucapkan terima kasih selepas menerima sesuatu.

Guru hendaklah sentiasa menegur dan menasihatkan murid-murid yang sentiasa melakukan salahlaku disiplin. Perkara-perkara tersebut penting diberi perhatian:
a) Murid yang datang lewat dan tidak membuat/ menyiapkan kerja rumah hendaklah diberi
nasihat dan amaran beberapa kali sebelum dihantar kepada GPK HEM
b) Mengawal pergerakan murid keluar masuk kelas untuk ke tandas dan lain-lain. Murid
hendaklah menggunakan Pas Keluar.
c) Memastikan semua murid beratur dalam barisan untuk ke bilik-bilik khas, ke kantin, ke
padang permainan dan ke pintu pagar sekolah waktu pulang.
d) Semua guru memastikan kawasan sekolah tidak dimasuki oleh orang-orang luar yang
mencurigakan demi menjaga keselamatan warga sekolah dan harta bendanya.
e) Semua guru memainkan peranan sebagai penjaga, penasihat, pendengar, pemimpin, pendidik,
penyelesai masalah, peransang, pengawas tingkah laku murid, model ikutan, pendakwah dan
sebagainya.
f) Semua guru beragama Islam hendaklah membacakan doa penerang hati dan dao-doa lain
sebelum memulakan pengajaran.
g) Selepas mengajar, semua guru memastikan kelas yang ditinggalkan berada dalam keadaan
yang terbaik sebelum guru seterusnya masuk.
h) Semua guru hendaklah membimbing dan mendidik murid-murid bagi mewujudkan budaya
membaca dan budaya melakukan kerja tanpa diarah/ disuruh agar budaya ilmu dapat
diterapkan, diamalkan dan ditingkatkan ke tahap yang lebih baik.
i) Semua guru perlu tampil menjadi contoh teladan kepada murid-murid dalam semua segi,
supaya kata-kata dan pengajarannya menjadi lebih berkesan dan mudah diikuti oleh mereka.


16. PERALATAN DAN PERABOT DI DALAM BILIK DARJAH
Setiap kelas hendaklah mempunyai meja dan kerusi guru, meja dan kerusi murid secukupnya.
Kain pengelap dan alat-alat keceriaan dibawa oleh murid-murid. Setiap kelas pada awal tahun akan dibekalkan dengan alat-alat berikut:
a) 1 unit penyapu jerami
b) 1 penyapu plastik
c) 1 bakul sampah
d) 1 pemadam papan hitam
e) 1 penyodok sampah
f) 1 pembaris panjang
g) 1 ‘feather duster’ plastik

Sila pastikan semua guru mengisi Borang A dan tandatangannya pada awal tahun.
Pada akhir tahun semua peralatan yang diambil pada awal tahun hendaklah dipulangkan kesemuanya. Bagi peralatan yang hilang, guru kelas dengan kerjasama murid-murid di dalam kelas hendaklah menggantikannya dengan yang baru. Peralatan yang rosak boleh ditukar dengan yang baru. Komitmen yang tinggi daripada tuan/puan amatlah diharapkan agar dapat memahami semua perkara di atas dan seterusnya menjalankannya bagi Sesi Persekolahn 2010.

Kerjasama tuan/puan dihargai dan disanjungi tinggi serta diiringi ucapan ribuan terima kasih

Saya yang menurut perintah,

(En. Mohd Ali b. Sukor)
Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Indah,
Johor Bahru.

No comments:

Post a Comment